KOTA KINABALU – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan singgah lapan daerah di Sabah sepanjang berlangsungnya Program Kembara Kenali Borneo.
Program ke Sabah dan Sarawak itu akan bermula hari ini sehingga 13 September ini.
Kembara Seti Paduka Baginda berdua akan bermula di daerah Tawau dan berakhir Telok Melano, Sarawak melibatkan jarak sejauh 2,154 kilometer (km).
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun juhar Mahiruddin dan isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni sebaik tiba di negeri ini semalam.
Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa merakam gambar kenangan bersama 40 kanak-kanak Tadika Kemas dan Perpaduan yang berpakaian traditional pelbagai etnik di Tawau.
Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kereta ditemani Tuanku Azizah juga berkenan beramah mesra, bersalaman serta swafoto dengan rakyat jelata yang sudah sejak awal menunggu keberangkatan Seri Paduka berdua di sekitar lapangan terbang.
Baginda berdua dijadualkan menghadiri Majlis Pelancaran Program Kembara Kenali Borneo dan Santapan Bersama Masyarakat Tawau di Dewan Masyarakat Tawau pada pukul 8 malam ini.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah pada esok dijadual memulakan Kembara Kenali Borneo dari Tawau, Sabah ke Telok Melano, Sarawak pada pukul 8.30 pagi.
Baginda berdua dijadualkan untuk singgah di Menara Kayangan, Lahad Datu sebelum melawat ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah.
Selesai program di daerah itu, Kembara Kenali Borneo meneruskan perjalanan ke Sandakan dan dijangka tiba pada lewat petang esok. – KOSMO! ONLINE