SEGAMAT – Seorang remaja lelaki yang terselamat dalam nahas yang mengorbankan enam ahli keluarganya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, di sini petang kelmarin, sudah membuka mata.
Abdullah Amir Ruddin, 15, yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Bukit Gambir juga selamat menjalani pembedahan akibat kecederaan parah pada kepala pada pukul 2.30 petang semalam.
Pasukan perubatan Hospital Segamat bagaimanapun membuat keputusan untuk menidurkan Abdullah hari ini kerana keadaannya masih lemah di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ibu saudara Abdullah, Norhayati Noor Muhammad berkata, anak saudaranya masih menggunakan bantuan alat pernafasan selepas selesai menjalani pembedahan petang semalam.
“Tadi saya baru melawat Abdullah. Dia ada membuka mata sekejap tadi, tetapi doktor tidurkan balik bagi mengelakkan komplikasi pendarahan bertambah teruk.
“Dia masih menggunakan bantuan alat pernafasan. Doakan terbaik buat Abdullah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Ya mangsa masih di ICU. Pemandu treler yang berusia 33 tahun sudah sedar,” katanya.
Abdullah merupakan satu-satunya penumpang Perodua Alza yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa ibunya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, dan bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46.
Nahas itu turut meragut nyawa nyawa empat adik-beradiknya iaitu Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Dalam kejadian pada pukul 6.37 petang, tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemedak untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.
Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir. Seramai enam mangsa maut manakala dua yang laun termasuk pemandu treler parah.- KOSMO! ONLINE