LONDON – Seorang model dari Ukraine yang menjalani suntikan kosmetik ‘filler’ dan popular kerana penampilan kontroversinya mendedahkan tentang prosedur pembedahan terbarunya, lapor portal berita Daily Express semalam.
Anastasia Pokreshchuk sebelum ini mendakwa dia memiliki pipi terbesar di dunia. Dalam usaha mengekalkan gelarannya, model itu kerap menjalani rawatan kecantikan, malah Anastasia mengaku dia menjalani terlalu banyak pembedahan kosmetik.
Baru-baru ini, wanita berusia 34 tahun itu mendedahkan gambarnya pada usia 18 tahun dan turut memberitahu peminatnya bahawa dia akan menjalani pembedahan sekali lagi. Sebelum ini dia pernah mendapatkan implan payudara terbesar.
Dia kini merancang prosedur misteri bersama seorang pakar perubatan yang membuatkan peminatnya berasa bimbang.
Dalam klip video merekodkan lebih 113,000 tontonan dan ribuan tanda suka, pesohor TikTok itu bercakap di hadapan kamera sambil duduk bertentangan dengan seorang doktor sebelum menunjukkan kerusi pembedahan.
“Saya ada temu janji dengan pakar ginekologi. Tidak lama lagi saya akan menjalani pembedahan,” katanya. – AGENSI