SINGAPURA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tharman Shanmugaratnam dipilih sebagai Presiden Singapura setelah memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya Presiden pertama sejak lebih satu dekad.
Shanmugaratnam, 66, mengalahkan dua pencabarnya apabila memperoleh 70.4 peratus undi. Beliau akan memegang jawatan Presiden untuk penggal selama enam tahun.
Saingan utama Shanmugaratnam, Ng Kok Song yang merupakan bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC memperoleh hanya 15.7 peratus undi.
“Keputusan sudah jelas,” kata Shanmugaratnam, sambil menjelaskan bahawa beliau telah menerima mandat daripada rakyat Singapura.
Syarat untuk menjadi Presiden Singapura adalah ketat di mana calon yang terpilih bertanggungjawab mengawal selia rizab kewangan dan memegang kuasa veto untuk meluluskan atau menolak siasatan kes rasuah.
Walaupun jawatan Presiden bukan partisan di bawah perlembagaan, garis politik telah dibuat menjelang pilihan raya untuk menggantikan penyandang terdahulu, Halimah Yacob yang menang tanpa bertanding pada 2017. – AFP