KOTA BHARU – Seorang pengusaha restoran nasi kerabu, Lieniey Nasi Kerabu Tumis cawangan Pengkalan Chepa maut selepas kereta yang dipandunya terbabas, berpusing sebelum merempuh tembok konkrit di Jalan Tok Guru, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Dalam nahas kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Hanan Rosli, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu kereta jenis Honda Jazz dari arah Pengkalan Chepa menghala ke Kota Bharu.
Menurutnya, semasa melepasi kawasan selekoh, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dalam keadaan berpusing.
“Keadaan itu menyebabkan kereta dipandu Hanan merempuh tembok konkrit. Mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kereta terbabit.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kereta tersebut. Lelaki itu mengalami cedera parah pada bahagian kepala selain dada dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang melihat kemalangan tersebut untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini atau hubungi pegawai penyiasat di talian 09-775 2355.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE