SUBANG JAYA- Rumah dekat antara alasan yang sering diberi penunggang motosikal apabila mereka ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika menjalankan Op Khas Motosikal di sekitar Taman Perdana Puchong, di sini, hari ini.
Seorang pemuda berusia 21 tahun berkata, dia pada awalnya hanya bersiar-siar di sekitar tasik kawasan perumahan tersebut sebelum diajak rakannya melihat sekatan jalan raya yang dilakukan di sekitar kawasan tersebut.
Dia yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu menambah, tanpa diduga perjalanan mereka ke lokasi sekatan jalan raya diekori anggota JPJ yang menaiki motosikal melihatnya tidak memakai topi keledar secara tidak langsung telah menahannya.
“Pada mulanya kami hanya duduk di kawasan tasik berhampiran, kemudian kawan saya ajak tengok sekatan jalan raya sebab berhampiran dengan rumah, tak sangka pula dalam perjalanan nak kesana ditahan sebab tak pakai helmet.
“Terkejut juga sebab ini kali pertama disaman dekat kawasan perumahan sendiri, selalunya pusing-pusing (tanpa topi keledar) dalam taman ini perkara biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi sekatan jalan raya dilakukan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan memberitahu, pihaknya mengambil maklum berhubung kekerapan masyarakat menunggang motosikal melebihi dua orang dan tidak memakai helmet di sekitar kawasan perumahan.
Katanya, fenomena yang dilakukan itu merupakan kesalahan yang besar dan perlu diambil tindakan yang tegas agar tidak dijadikan satu tabiat.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil bukan untuk menyusahkan orang ramai tapi supaya kesalahan sama tidak diulang dan menjadikannya tabiat.
“Disebabkan itu, operasi ini juga tertumpu di kawasan perumahan yang juga lokasi didapati banyak berlaku pelanggaran peraturan jalan raya,”katanya.
Menurut beliau, fokus JPJ bukan hanya terletak pada kawasan perumahan, malah turut difokuskan kawasan yang sering dilaporkan orang awam berlakunya kegiatan perlumbaan haram.
“Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang melaporkan kepada pihak JPJ di mana berlakunya kegiatan lumba haram dan kesalahan jalan raya yang lain.
“Kita mahu melaksanakan operasi ini bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan,” katanya. -KOSMO! ONLINE