JOHOR BAHRU – Strategi mengedar risalah calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat yang menggunakan logo Barisan Nasional (BN) berjaya meningkatkan kefahaman penyokong UMNO dan BN.
Suhaizan berkata, bahan kempen yang mempamerkan logo dacing itu amat membantu penyokong BN memahami bahawa dirinya adalah calon yang disokong oleh BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) walaupun logo itu tidak ada di kertas undi.
Katanya, sebelum ini ramai yang keliru memandangkan bahan kempen menggunakan logo PH sedangkan kempen yang dijalankan turut dihadiri jentera dan pemimpin dari UMNO dan BN.
“Pada awalnya kita berkempen menggunakan logo PH dan selepas itu barulah meletakkan logo dacing supaya ahli UMNO jelas selain merasakan BN adalah sebahagian daripada kerajaan Perpaduan.
“Kalau letak logo PH sahaja, nanti mereka tak nampak huvungan antara PH dan BN itu. Kita wujudkan warna biru di logo dacing kerana nak menggambarkan adanya muafakat di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Wanita Perpaduan Johor 2023 di Dewan Persatuan Cerebral Palsy, di sini hari ini.
Suhaizan memberitahu, 20,000 risalah yang menggunakan logo dacing itu sudah habis diedarkan sehingga kini.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, beliau terpaksa mencetak sebanyak 40,000 lagi risalah untuk diedarkan khusus buat penyokong tegar supaya mereka tahu siapa calon yang perlu diundi. – KOSMO! ONLINE