BESUT – Walaupun hampir lima dekad berlalu, peristiwa diserang hendap sehingga hampir meragut nyawa masih segar dalam ingatan bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), Mustaffa@Shaafi Abas, 74.
Beliau berkata, kejadian tersebut tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi anggota PPH Batalion 11 yang ditugaskan memburu saki-baki komunis di negara ini.
Dia yang ketika itu berpangkat lans koperal berkata, serang hendap berkenaan berlaku pada bulan Ramadan pada 1975 ketika platunnya sedang ditempatkan di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan.
“Waktu itu saya sedang solat maghrib, tiba-tiba sepasukan komunis menyerang hendap dengan melepaskan tembakan ke arah kami dari jarak jauh.
“Mujur saya sedang bersujud menyebabkan peluru berkenaan hanya melalui atas kepala dan tersasar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bakap, Jabi, di sini semalam.
Mustaffa berkata, mereka kemudiannya berbalas tembakan dalam kegelapan malam di hutan itu selama lebih setengah jam.
Beliau berkata, komunis yang tidak putus asa melakukan serangan kedua pula pada pukul 12 tengah malam sebelum platunnya memutuskan untuk berundur dengan menyusuri sungai keesokan harinya.
“Saya bersyukur masih panjang umur walaupun berdepan serangan hendap yang sengit itu.
“Saya juga tidak dapat melupakan insiden dua rakan baik dalam PPH maut ditembak komunis dalam operasi di Sarikei, Sarawak pada 1971,” katanya.
Ujarnya, dua anggota PPH terbabit dikenali rapat sejak mula-mula menyertai pasukan keselamatan berkenaan pada 1969.
Beliau berkata, pasukannya yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan biasa ditugaskan dalam operasi membanteras komunis di seluruh negara.
“Bertempur dengan komunis adalah perkara biasa ketika itu dan saya berbangga dapat berkhidmat kepada tanah air sehingga komunis menyerah kalah sepenuhnya pada 1989.
“Meskipun hanya dibayar RM150 sebulan, sebagai PPH saya mengerah segala keringat dan bakti kepada negara” katanya.
Mustaffa yang bersara pada 2005 juga gembira apabila seorang anaknya menyertai PDRM. -KOSMO! ONLINE