MONACO – Impian para peminat Newcastle United untuk menyaksikan penyerang prolifik Perancis, Kylian Mbappe beraksi di St. James Park akhirnya menjadi kenyataan.
Namun, senarionya berbeza kerana Mbappe, 24, akan hadir dengan Paris Saint-Germain (PSG) selepas diundi bersama Newcastle dalam Kumpulan F kempen musim baharu Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Menariknya, juara Eropah tujuh kali dari Itali, AC Milan dan gergasi Jerman, Borussia Dortmund turut diundi dalam Kumpulan F sekali gus dianggap sebagai ‘kumpulan maut’ berbanding tujuh lagi saingan lain.
Bagaimanapun, Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi enggan meramal pasukannya adalah pilihan pertama berbanding Newcastle, Milan dan Dortmund untuk mara ke peringkat kalah mati.
“Sekarang adalah era baharu. Pasukan kali ini bakal turun dengan gaya dan kualiti permainan yang berbeza dan lebih menyerang jika dibandingkan sebelum ini. Jadi saya tiada rungutan (undian Kumpulan F),” katanya.
Sementara itu, pundit bola sepak England, Chris Sutton meramal Newcastle mempunyai peluang untuk menjadi dua pasukan terbaik Kumpulan F berdasarkan kualiti para pemainnya seperti Sandro Tonali, Alexander Isak dan Bruno Guimaraes.
“Tiga pasukan ini perlu berwaspada dengan anak-anak buah Eddie Howe kerana mereka berpotensi menduduki tempat kedua. PSG pula akan menjadi juara kumpulan dengan adanya Mbappe,” jelasnya.
Perlawanan pertama saingan Liga Juara-Juara Eropah akan berlangsung pada 19 dan 20 September ini dengan Stadium Wembley telah ditetapkan menjadi venue final bagi edisi kali ini. – AGENSI