KUALA LUMPUR – Skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara berjaya menyambar tiket ke pentas Piala Dunia Hoki 5s yang akan berlangsung di Muscat, Oman pada Januari tahun depan.
Malaysia tetap berjaya meraih slot tersebut walaupun menamatkan saingan Piala Asia Hoki 5s di Salalah, Oman pada kedudukan keempat selepas tewas 4-5 kepada tuan rumah dalam penentuan tempat ketiga dan keempat sebentar tadi.
Selain Malaysia, dua lagi tiket menjadi milik dua finalis kejohanan, India dan Pakistan, manakala Oman akan turun beraksi selaku tuan rumah Piala Dunia Hoki 5s tahun depan.
Ketua jurulatih skuad hoki 5s lelaki negara, Wallace Tan gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya mencapai objektif layak ke Piala Dunia Hoki 5s walaupun mengakhiri kejohanan tanpa kejayaan podium.
“Perlawanan dengan Oman untuk tempat ketiga dan keempat bukan satu perlawanan mudah dan kami telah melakukan kesilapan.
“Namun, apa yang penting misi utama iaitu layak ke Piala Dunia telah tercapai. Aksi kelayakan Asia selalunya merupakan pertandingan yang sukar kerana semua pasukan memberikan saingan yang hebat.
“Ini adalah proses pembelajaran yang bagus kerana hoki 5s sangat berbeza dengan hoki 11. Kejayaan ke Piala Dunia Hoki 5s akan memotivasikan untuk bekerja lebih keras,” katanya.
Empat gol Malaysia dalam perlawanan itu dijaringkan dua oleh Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin dan satu daripada Muhammad Muhibuddin Moharam serta Mohamad Akhimullah Anuar Esook.
Oman pula meraih lima gol menerusi dua jaringan Aiman Madit dan Khalid Al Shaaibi serta satu daripada Rashad Al Fazari. – KOSMO! ONLINE