KLANG – Seramai lima lagi lelaki diberkas bagi membantu siasatan kes seorang individu maut ditembak di hadapan premis kedai di Jalan Hamzah Alang, Kapar di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu ditangkap pihaknya di sekitar Kapar antara pukul 11 malam hingga 5 pagi tadi.
Katanya, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah tangkapan kes melibatkan enam suspek.
“Lima lelaki berkenaan dibenarkan reman selama empat hari sehingga 5 September depan.
“Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.
Tambah Vijaya Rao, pihaknya setakat ini masih menyiasat motif sebenar kejadian.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau balai bolis berhampiran.
Kosmo! kelmarin melaporkan kejadian melibatkan lelaki berusia 36 tahun yang memiliki 12 rekod jenayah lampau ditemui mati ditembak di Jalan Hamzah Alang, Kapar.
Susulan itu, seorang lelaki diberkas kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin. -KOSMO!ONLINE