SINGAPURA – Seorang warga Malaysia, Jonathan Lim yang bekerja di Singapura membuktikan dia boleh hidup di pulau itu dengan berbekalkan SG$13.10 (RM44.99) sehari, lapor portal berita AsiaOne.
Menurut portal itu Rabu lalu, Jonathan memuat naik satu hantaran di akaun TikToknya dengan menggunakan nama Jonlzx. Dia bertanyakan soalan iaitu bolehkah orang dewasa hidup di Singapura berbekalkan SG$10 (RM34.34) sehari?
Sarapan paginya ialah roti bakar mentega kacang yang dimakan dalam perjalanan ke pejabat. Dia menyiapkan sendiri makanan tersebut
Pada waktu makan tengah hari, Jonathan memesan nasi, brokoli dan hirisan ayam di gerai nasi ekonomi pada harga cuma SG$3.60 (RM12.36).
Dia kemudian mengambil roti krim keju cranberry dari kedai roti kejiranan berharga SG$1.50 (RM5.15) apabila meninggalkan pejabat kerana berasa lapar dan selepas bersenam, Jonathan terus ke pasar raya untuk makan malam.
Berbekalkan SG$5 (RM17.17), dia membeli dua paha ayam dan menambah SG$3 (RM10.30) lagi untuk kos pengangkutan.
Pada akhirnya, dia mendapati membelanjakan sebanyak SG$13.10 pada hari tersebut. – Agensi