IPOH – Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menyumbangkan lebih RM1 bilion kepada perolehan koperasi seluruh negara, tahun lalu.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan KPF sebagai antara penyumbang terbesar kepada perolehanan koperasi negara berjumlah RM46.5 bilion.
“Sebahagian besar koperasi di dalam negara yang menduduki senarai 100 koperasi terbaik ini datangnya daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
“Maknanya koperasi di bawah agensi ini mendapat kawalan dan sokongan, jadi kita harap supaya agensi dapat beri peruntukan lebih besar lagi kepada koperasi di bawah mereka untuk kembangkan perniagaan,” katanya selepas menyempurnakan Karnival Usahawan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Trolak di Felda Trolak Utara di Sungkai di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, koperasi-koperasi generasi kedua dan ketiga Felda disaran lebih aktif untuk memperkasakan lagi peranan dan sumbangan gerakan itu.
Katanya, antara langkah boleh dimainkan adalah dengan menceburi bidang perniagaan baharu dan menambah nilai pelaburan supaya kedudukan koperasi lebih kukuh.
“Kalau dulu aktiviti koperasi beli buah sawit, sekarang kena lebih lagi seperti masuk kepada pemprosesan, dapatkan hasil minyak dan sebagainya.
“Perkara ini boleh dilaksanakan kerana generasi kedua dan ketiga Felda ini merupakan kumpulan dari segi pendapatannya bukanlah golongan B40, tetapi mereka M40, sudah tentu boleh memainkan peranan lebih besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE