MONACO – Pemenang anugerah Pemain Terbaik Tahunan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Erling Haaland mengakui prestasinya yang memuncak musim lalu adalah berpunca daripada jeritan pengurus pasukannya, Pep Guardiola.
Penggempur sensasi Manchester City itu menepati ramalan untuk memenangi anugerah berkenaan ekoran prestasi luar biasa dipamerkan musim lalu dengan meledak 52 gol serta membantu pasukan itu meraih kejuaraan trebel.
Haaland meraih kemenangan itu selepas mengumpul 352 mata, kira-kira 100 mata melebihi pencabar terdekatnya, Lionel Messi (227 mata), malah mengatasi tiga lagi rakan sepasukannya di Etihad, Kevin De Bruyne (225 mata), Rodri (110 mata) dan Ilkay Gundogan (129 mata) yang berada dalam kelompok 10 terbaik.
“Berbanding bapa saya, kadang-kala Pep lebih garang, tetapi inilah yang saya mahukan. Saya suka apabila Pep menjerit ke arah saya kerana beliau cuba untuk memberikan saya sesuatu yang saya tidak fikirkannya pada ketika itu.
“Saya tidak ada masalah apabila dijerit atau dimarahi kerana ia mampu menjadikan saya seorang pemain yang lebih baik,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan Haaland meraih gelaran berganda selepas dia baharu sahaja dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan PFA di England pada Rabu lalu apabila mendapat undian tertinggi daripada para pengurus dan pemain dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Musim ini menyaksikan Haaland belum menunjukkan sebarang tanda penurunan prestasi apabila sudah berjaya meledak tiga gol dalam tiga perlawanan awal musim ini biarpun City tanpa kelibat De Bruyne yang cedera, manakala Gundogan pula berhijrah ke Barcelona.
“Saya memenangi gelaran trebel pada usia 22 tahun. Saya seperti telah menyempurnakan impian saya sejak kecil.
“Musim ini adalah penting untuk saya lebih tenang. Saya tahu, banyak ‘mata’ akan memberikan tumpuan kepada saya dan City yang telah memenangi Liga Juara-Juara. Kami perlu menjadi lebih tajam dan bersiap sedia,” jelasnya.
Sementara itu, Guardiola juga turut dinobatkan sebagai jurulatih terbaik selepas menewaskan bekas pengendali Napoli, Luciano Spalletti yang berjaya mengemudi pasukan berkenaan muncul juara Serie A selepas 33 tahun. – AFP