RANAU – Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin memaklumkan sudah menahan 10 pelajar sekolah terlibat dalam kejadian buli dalam sebuah video tular di daerah ini semalam.
Simiun berkata, menghisap vape dipercayai punca beberapa pelajar dipukul sekumpulan pelajar lain sebuah sekolah menengah berasrama itu menjadi tular di media sosial.
“Lima pelajar ditahan semalam manakala lima lagi ditahan hari ini. Semua pelajar yang ditahan berusia 15 hingga 17 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Simiun menyatakan semua pelajar berkenaan kini dalam tahanan polis di dalam lokap dan bakal dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan ke atas mereka selesai dibuat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3 Ogos lalu sebelum ia tular di media sosial semalam.
“Siasatan awal juga mendapati punca kejadian dipercayai pelajar yang memukul dikatakan tidak berpuas hati serta marah kepada mangsa (pelajar) yang menghisap vape kerana menyusahkan pelajar asrama yang lain.
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi lima minit 33 saat di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp semalam yang memperlihatkan mangsa dikerumuni sekumpulan pelajar di dalam sebuah bilik darjah di sebuah sekolah menengah.
Mereka dilihat seperti berbincang sesuatu sebelum beberapa pelajar menampar, menumbuk dan menendang beberapa pelajar lain. – KOSMO! ONLINE