JERANTUT – Durian damak king kini menjadi fenomena apabila menjadi rebutan penggemar durian yang sanggup datang dari jauh ke Damak di sini semata-mata menikmati keenakan durian berkenaan.
Akibat permintaan luar biasa berkenaan menyaksikan durian itu kini berjaya ‘menewaskan’ durian musang king apabila dijual dengan harga RM50 sekilogram berbanding musang king yang dijual paling murah dengan harga RM15 satu kilogram di Jerantut.
Seorang penggemar durian dikenali sebagai Chiam, 42, berkata, dia dan rakannya datang dari Segamat Johor yang mengambil masa lebih lima jam perjalanan semata-mata untuk makan durian damak.
“Saya melihat di dalam Facebook mengenai durian damak dan ramai rakan-rakan menyatakan ia memang sedap jadi saya mengambil keputusan datang ke sini.
“Saya sudah biasa makan musang king dan black thorn kerana saya ada menanam durian berkenaan, jadi saya mahu merasa damak king pula,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, walaupun hanya dapat membeli sebiji sahaja durian damak king dia berpuas hati kerana dapat menikmati keenakan durian berkenaan.
Katanya, dia sudah menempah durian berkenaan daripada penjual dan berhasrat datang lagi pada masa yang lain.
“Memang durian ini sedap dan setanding musang king, saya berhasrat datang lagi malah saya juga mahu menanam baka durian ini,” katanya.
Dalam pada itu peraih dan penjual durian, Zulkifli Mahmud berkata, permintaan yang begitu tinggi membuatkan damak king kini tidak mencukupi.
Katanya, walaupun dijual dengan harga RM50 sekilogram ia tetap mendapat sambutan luar biasa daripada penggemar durian seluruh negara.
“Sekarang damak king memang kena tempah dahulu itu pun tidak dapat menampung permintaan, banyak mana pun yang ada pasti habis dijual.
Sementara itu katanya, selain damak king pelbagai jenis durian kampung damak juga mendapat sambutan.
Katanya, antaranya durian mas hijau, naga emas, durian susu dan pelbagai lagi durian kampung premium mendapat sambutan.