KUALA SELANGOR – Lebih 1,000 penduduk Taman Alam Sutera, Puncak Alam di sini, merayu pihak berwajib membina simpang empat dan lampu isyarat di kawasan itu bagi mengelak kesesakan teruk sejak setahun lalu.
Kemudahan infrastruktur itu turut penting berikutan kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan sama ada kenderaan atau motosikal.
Wakil penduduk, Syed Rahimin Shah Syed Ahmad Shah, 37, berkata kawasan itu mempunyai persimpangan sebelum ini, namun ditutup berikutan kerja pembinaan projek perumahan.
“Kini, simpang itu ditutup setahun sekali gus menyulitkan penduduk terutama yang mahu menghala ke Meru atau laluan Persiaran Mokhtar Dahari.
“Penduduk terpaksa membuat pusingan U sejauh satu kilometer dan keadaan lebih teruk pada waktu puncak kerana aliran trafik perlahan sehingga memakan masa lebih 20 minit,” katanya ketika meninjau lokasi itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan hari ini.
Bagi penduduk, Zulfadzli Ahmad, 42, berkata, dia tidak membantah sebarang pembangunan di kawasan berdekatan, namun perlu mengambil kira kemudahan penduduk setempat.
,
“Ramai ibu bapa mengeluh apabila van yang menjadi pengangkutan utama anak ke sekolah tidak mahu memasuki taman perumahan. Setakat ini hanya ada satu van sekolah yang masih mengambil dan menghantar pelajar ke sekolah berdekatan,” katanya.
Sementara itu, Harrison Hassan berkata, beliau akan mengajukan permasalahan berkenaan kepada pihak pemaju perumahan dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bagi perbincangan lanjut. – KOSMO! ONLINE