BEIJING – Berpuluh-puluh juta orang di Hongkong, Shenzhen dan beberapa bandar mega lain berlindung di tempat tertutup hari ini ketika Taufan Super Saola mengancam menjadi ribut paling kuat yang pernah melanda selatan China dalam tempoh beberapa dekad.
Beratus-ratus penerbangan dibatalkan di seluruh rantau berkenaan, manakala penggal persekolahan baharu di Hong Kong telah ditangguhkan.
Ketika Saola berisiko menghentam Hong Kong secara langsung, pihak berkuasa memberi amaran mereka mungkin meningkatkan tahap amaran kepada T10 sekali gus amaran peringkat tertinggi di bandar raya itu. Ia hanya diaktifkan sebanyak 16 kali sejak Perang Dunia II.
Pejabat meteorologi China menyatakan hari ini bahawa Saola mungkin menjadi taufan paling kuat yang akan tiba di daratan di Delta Sungai Pearl sejak 1949, merujuk kepada rantau rendah termasuk wilayah Hong Kong, Macau dan Guangdong.
Menjelang pukul 3 petang (waktu tempatan), Saola berada 140 kilometer ke tenggara Hong Kong dan membawa angin selaju 210 kilometer sejam.
Di wilayah Shenzhen yang berjiran dengan Hong Kong dan didiami 17.7 juta penduduk, pihak berkuasa membuka pusat-pusat perlindungan dan membatalkan pengangkutan awam.
“Ribut ini akan menjejaskan kehidupan kami,” kata Wu Wenlai, 43, yang menguruskan sebuah restoran di pinggir Shenzhen selepas terpaksa menutup premisnya.
“Anak lelaki sulung saya merancang untuk berlepas ke Chengdu hari ini dan penerbangannya telah dibatalkan,” katanya.
Kali terakhir Hong Kong mengeluarkan amaran T10 adalah ketika Taufan Mangkhut membadai pulau itu dalam tahun 2018
Ribut itu menyebabkan lebih 300 orang cedera dan mencetuskan banjir kilat. – AFP