PETALING JAYA – Pelakon Syafie Naswip berdepan pengalaman mencemaskan apabila mengalami sakit perut kronik selama dua hari yang berpunca daripada masalah apendiks.
Disebabkan masalah yang dialaminya itu, Syafie terpaksa menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara dan perlu tinggal di wad selama empat hari untuk pemantauan.
“Perjalanan mencabar.Tough journey, satu pengalaman yang bagus tapi apabila fikir balik satu kenangan yang menakutkan untuk diingati.
“Sakit perut selama dua hari. Sakit hanya Tuhan yang tahu. Setiap malam beralih ke sana sini sebab sakit sampai bagi kesan terhadap peenafasan,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Pelakon Mukhsin itu turut berkongsi video ketika tiba dengan berkerusi selain sedang mendapatkan rawatan di wad sehingga detik keluar hospital.
Menurut aktor berusia 28 tahun itu, masalah apendiks yang dialami dirasakan berpunca daripada pengambilan makanan pedas berlebihan.
“Ini semua salah saya sebab ketagih makan masakan pedas sejak kecil. Tapi saya belajar banyak perkara selama empat hari di tempatkan di hospital,” luahnya.
Syafie juga tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada semua pelawat, selain mereka yang mendoakan kesihatannya.
“Terima kasih semua yang datang melawat, doa di whatsapp atau DM (mesej langsung).
“Minta maaf tidak sempat nak balas satu persatu sebab masa yang ada banyak untuk berehat. Akan diusahakan,” katanya.
Difahamkan bintang yang mencipta nama di bawah bimbingan Allahyarham Yasmin Ahmad pada 2007 itu menjalani pembedahan berkenaan pada Isnin lalu.
Bersandarkan jadual kerja, Syafie bakal terbang ke Bario, Sarawak pada 4 September ini bagi penggambaran sebuah filem selama sebulan. -KOSMO ONLINE