KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan lima suspek merogol seorang wanita berusia 27 tahun yang sedang tidur di kediamannya di Wangsa Maju, di sini, pada pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, wanita berkenaan bukan saja dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki, malah rakaman video mangsa ketika perbuatan terkutuk tersebut turut dilakukan kumpulan tersebut.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya masih lagi giat memburu suspek terlibat untuk dikenakan tindakan dengan segera.
“Buat masa ini belum ada tangkapan dibuat dan usaha untuk kesan suspek sedang giat dilakukan.
“Jika ada tangkapan atau perkembangan terkini, kita akan laporkan segera kepada media,” ujarnya kepada ketika ditanya pemberita hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan mangsa ketika itu sedang tidur di dalam biliknya sebelum tersedar mulutnya ditutup dengan tangan oleh suspek yang juga dipercayai rakan kepada abang iparnya.
Menurut sumber, suspek turut bertindak mengikat tangan dan menutup mulut mangsa dengan pita pelekat sebelum mereka memperkosanya dan merakam perbuatan itu.
“Selepas memperkosa mangsa, mereka terus melarikan diri menyebabkan dia cedera dan lebam di tangan,” katanya.
Trauma dengan kejadian itu mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, suspek sedang dikesan selepas melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.