MUAR – Perikatan Nasional (PN) yakin calon Pas, Dr. Mohd. Mazri Yahya mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September nanti.
Ketua Bersatu Bahagian Bakri, Mahadzir Abu Said berkata, setakat seminggu kempen yang dilaksanakan oleh pihaknya, dianggarkan kelebihan berpihak kepada calon PN adalah sekitar 65 hingga 70 peratus.
Katanya, kempen ala gerila yang dilaksanakan oleh jentera khas PN dilihat membuahkan hasil apabila ramai pengundi menyatakan kesanggupan untuk memberikan sokongan kepada Mazri.
“Peningkatan sokongan juga hasil daripada ceramah kelompok oleh calon sendiri yang menemui pengundi pelbagai lapisan masyarakat di dalam Simpang Jeram ini.
“Dalam pada itu, peningkatan peratusan juga berlaku hasil daripada gabungan tiga parti komponen mendekati satu persatu pengundi seperti yang dirancang sebelum ini”katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurut Mahadzir lagi, melihat kepada situasi yang ada sekarang, pihaknya yakin menang namun bukan dalam majoriti yang besar.- KOSMO! ONLINE