PETALING JAYA – Ahli akrobatik bermotosikal Angkatan Tentera Malaysia, Sarjan Saidatul Husna Kamarudin mendedahkan pernah mengalami kecederaan teruk selepas dua tahun menyertai unit itu dikenali sebagai Army Red Warrior (ARW).
Dia yang baru sahaja menyambut hari kelahiran ke 35 semalam berkata, penglibatannya dalam unit akrobatik bermotosikal bermula pada tahun 2010 selepas dua tahun berkhidmat sebagai tentera.
“Saya pernah mengalami kemalangan yang teruk dan ia menyebabkan kecederaan parah pada lutut saya. Perkara ini berlaku pada tahun 2012 dan saya perlu menjalani pembedahan ekoran insiden tersebut,” katanya dalam satu temu bual bersama stesen radio tempatan.
Namun begitu, pengalaman pahit tersebut tidak menjadi penghalang buat dirinya malah dia terus bangkit mencipta nama melalui persembahan aksi lasak tersebut.
Ia jelas terbukti apabila anak kelahiran Kedah yang membuat lompatan bersejarah di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong semalam mempunyai 13 tahun pengalaman dalam persembahan aksi lasak.
“Lompatan semalam pada hari kemerdekaan bukan lah lompatan pertama saya, saya sudah mempunyai 13 tahun pengalaman dalam unit ini sejak 2010 lagi.
“Pada Hari Kemerdekaan tahun lalu, saya membuat persembahan di hadapan Raja Perlis sempena malam ambang merdeka dengan membuat lompatan di atas kereta,” katanya dalam satu temu bual bersama salah sebuah stesen radio tempatan.
Sarjan Husna juga pernah mencipta rekod dalam Malaysian Book of Records (MBOR) iaitu Paling Ramai Orang Menunggang Sebuah Motosikal dan Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita).
Terdahulu, lompatan ekstrem bermotosikal oleh Saidatul Husna sempena Hari Kebangsaan 2023 berjaya memukau perhatian orang ramai dan menjadi tular di sosial media.
Aksi akrobatik motosikal melibatkan motosikal carrier menerusi aksi penunggang membawa motosikal menaiki tangga setinggi lapan kaki, formasi bunga raflesia, tugu negara dan merak juga antara yang ditampilkan Army Red Warrior semalam. – KOSMO! ONLINE