JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh berusia 29 tahun ditahan reman bermula kelmarin hingga 4 September ini bagi membantu siasatan berhubung penderaan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun di Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang di sini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, suspek ditahan ekoran laporan polis seorang pengadu yang merupakan ibu kepada kanak-kanak mangsa dera tersebut yang berusia 28 tahun.
“Siasatan mendapati kejadian dera yang tular di media sosial itu telah berlaku di sebuah taska pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang pada pukul 3.50 petang, 25 Ogos lalu.
“Bertindak atas laporan polis pengadu, suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang pada pukul 2.15 petang, 29 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE