BALING – Seorang operator kilang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Kulim-Baling-Gerik berhampiran lampu isyarat Kampung Kuala Bakong, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa, Muhammad Zulhusni Azil Roseli, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
“Perodua Alza itu kemudian terbabas ke sebelah kanan jalan dan terlanggar sebuah lagi motosikal jenis Demak Evo yang ditunggang lelaki berusia 44 tahun.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang Yamaha Y15ZR mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang Demak Evo cedera ringan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pemandu kereta bersama tiga penumpangnya tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE