fbpx

MK K-Clique seronok berlakon, makin fasih cakap ‘semenanjung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MK semakin aktif berlakon, namun tidak akan sesekali melupakan bidang nyanyian.

PETALING JAYA – Sejak aktif menceburi bidang lakonan, penyanyi MK K-Clique mengakui pertuturannya menggunakan bahasa Melayu standard kini semakin baik, berbanding ketika awal pembabitannya bergelar pelakon apabila slanga atau loghat Sabahnya kedengaran terlalu ‘pekat’.

MK atau nama lengkapnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, dia dapat memperbaiki sedikit cara percakapannya itu hasil usahanya sendiri melalui pendengaran selain sering berkomunikasi dengan isterinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin di rumah menggunakan bahasa Melayu standard.

“Alhamdulillah saya sudah dapat memperbaiki sedikit cara sebutan dan pertuturan menggunakan bahasa Melayu ‘semenanjung’. Kalau sebelum ini loghat Sabah saya memang sangat pekat.

“Saya banyak belajar sendiri melalui pendengaran selain selalu berkomunikasi dengan isteri di rumah menggunakan bahasa Melayu standard. Tapi bagi saya, kebolehan bertutur menggunakan kedua-dua bahasa ini dapat memberi kelebihan dalam kerjaya lakonan saya.

“Lagi pun isteri saya tidak berapa faham kalau saya bercakap menggunakan slanga Sabah. Tapi lama-lama dia sudah boleh ‘tangkap’ apa yang saya cuba hendak sampaikan,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Pada masa sama, penyanyi dan pelakon berusia 27 tahun itu yang ditemui semasa konsert Kepci Music Fest baru-baru ini berkata, dia kini telah jatuh cinta dalam bidang lakonan dan menganggap kedua-dua bidang, sama ada nyanyian dan lakonan mempunyai kepuasan yang berbeza.

“Kalau ditanya bidang mana yang paling saya minati, dua-duanya saya suka (lakonan dan nyanyian) kerana masing-masing ada kepuasan dan kenikmatannya tersendiri.

“Kedua-dua bidang itu sangat menyeronokkan. Alhamdulillah, sejak menceburi bidang lakonan, saya dihujani dengan banyak tawaran drama dan telemovie.

“Tapi saya tidak akan melupakan bidang nyanyian bersama K-Clique. Insya-Allah, hujung tahun ini kami akan keluarkan single baharu.

Terdahulu, MK mula terjun dalam bidang lakonan selepas membintangi drama pertamanya berjudul The Hotel pada 2021 dengan memegang watak sebagai Sean.

Selain The Hotel, MK juga pernah membintangi beberapa buah drama lain seperti Oh My Hantaran dan I LOVE You Stupid! – KOSMO! ONLINE
-HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI