KLANG – Kehilangan seorang anak kapal Eco Galaxy yang terjatuh ketika menyambut tali dari bot di Perairan Pintu Gedung kelmarin terungkai apabila mayatnya ditemui hari ini.
Mayat lelaki warga Filipina dikenali Peligres Jaime Langusta, 57, itu ditemui di sekitar perairan Pulau Tengah, kira-kira pukul 9.26 pagi tadi.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Op Carilamat menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung.
Katanya, mayat itu kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi proses pengecaman sebelum diserahkan kepada polis dan Hospital Banting bagi tindakan lanjut.
“Pengecaman awal oleh ejen Kapal Eco Galaxy mengesahkan mayat itu adalah Peligres Jaime yang terjatuh ke pada Rabu lalu.
“Op Carilamat ditamatkan pukul 1.13 petang tadi dan Pos Hadapan di jeti Tanjung Rhu, Pulau Carey turut ditutup sepenuhnya,” katanya hari ini.
Tambah Mohd. Sharenliza, operasi pencarian hari ketiga itu menggunakan tiga bot daripada Maritim Malaysia, PPM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan turut dibantu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Selangor.
Kosmo! kelmarin melaporkan seorang anak kapal Eco Galaxy dilaporkan hilang selepas terjatuh ketika menyambut tali dari sebuah bot di Perairan Pintu Gedung. -KOSMO!ONLINE