AMPANG JAYA – Sebanyak lapan buah motosikal disita dan 55 keping saman dikeluarkan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di Jalan Bunga Raya Taman Kencana, Jalan Ampang, Jalan Putra, Bukit Ampang Saujana dan Lebuhraya SUKE, di sini, tengah malam tadi.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menjalankan operasi Operasi Khas Pencegahan Jenayah Sempena Ambang Merdeka 2023 di Jalan Bunga Raya Taman Kencana
bermula pada pukul malam hingga 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya juga membuat rondaan Operasi Samseng Jalanan di Jalan Ampang, Jalan Putra, Bukit Ampang Saujana dan Lebuhraya SUKE bermula pada pukul 9 malam hingga 2.30 pagi.
Katanya, tujuan operasi itu dijalankan adalah bagi mengesan dan mengambil langkah-langkah pencegahan awal dari berlakunya aktiviti yang tidak sihat di kalangan pengguna motosikal dalam semangat meraikan ambang Merdeka pada tahun ini.
“Hasil dari kedua-dua operasi tersebut, sebanyak 55 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan
“Antara kesalahan adalah tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, lampu merah dan pelbagai kesalahan trafik yang lain,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Hasil daripada kedua-dua operasi yang telah dijalankan, sebanyak lapan buah motosikal telah ditahan dan dibawa balik ke balai untuk proses dokumentasi dan proses panggil pemilik.
“Kesemua kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.
“Kita akan meneruskan operasi penguatkuasaan seumpama ini pada bila-bila masa bagi memastikan semua pengguna kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.