SEBERANG PERAI – Kerajaan merancakkan usaha untuk meningkatkan kebajikan serta taraf hidup golongan M40 menerusi Belanjawan 2024 yang dijadualkan dibentang di Parlimen pada Oktober depan.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong walau bagaimanapun berkata, usaha untuk memperkasakan golongan itu adalah kesinambungan Belanjawan 2023 lalu yang memfokuskan kepada ekonomi rakyat.
“Antara perkara utama yang kita mahu tangani dalam masa terdekat adalah bagaimana untuk memperkukuhkan ekonomi golongan M40 ini yang paling banyak terjejas semasa pandemik lalu.
“Oleh itu, fokus utama Belanjawan 2024 dalam menangani beban kos sara hidup bukan hanya setakat menurunkan harga barangan semata-mata, tetapi bagaimana untuk menaikkan gaji pekerja serta meningkatkan pendapatan perniagaan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Belanjawan 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Seramai 300 individu terdiri daripada penjawat awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkongsi pandangan dan idea bagi memastikan penyediaan Belanjawan 2024 lebih menyeluruh sekali gus memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pemerkasaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (SME) turut diperhebat bagi membantu menjana ekonomi negara.
“Dalam siri jelajah sebelum ini, saya terima beberapa aduan di mana usahawan tempatan dilihat sebagai kelas kedua susulan kerajaan memfokuskan pelaburan langsung asing (FDI) yang membuatkan mereka rasa terabai.
“Justeru, kita menetapkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) sebagai antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara.
“Dalam mengejar FDI yang baik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, pada masa sama kita tidak boleh mengabaikan pelaburan usahawan setempat,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE