SINGAPURA – Sebuah kedai kopi yang dijual pada harga SG$40 juta (RM137.61 juta) dalam tahun 2022 terbakar awal semalam di Yishun, Singapura, lapor portal berita asiaone hari ini.
Video yang disiarkan dalam aplikasi TikTok oleh pengguna, Sgjeff007 menunjukkan api menjilat bangunan dua tingkat itu sebelum pihak bomba tiba untuk memadamkan kebakaran.
Kedai kopi itu yang terletak di tingkat pertama Blok 848 Yishun Street 81, dijual pada harga SG$40 juta pada Jun 2022 kepada Kumpulan Chang Cheng.
Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu sekitar pukul 2.10 pagi semalam.
Kira-kira 19 orang dipindahkan sebelum pasukan bomba tiba dengan seorang mangsa melecur ringan tetapi enggan dibawa ke hospital, kata SCDF.
Punca kebakaran masih dalam siasatan. – Agensi