fbpx

Kata-kata arwah akan pengsan jadi kenyataan – isteri anggota Rela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Harraz (kanan) menunjukkan gambar arwah ketika ditemui di Jiboi, Seremban semalam.

SEREMBAN – Seorang suri rumah tidak menyangka kata-kata suaminya bahawa dia akan pengsan selepas tamat perbarisan kontinjen Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Negeri Sembilan sempena Hari Kebangsaan ke-66 semalam menjadi kenyataan.

Lebih menyedihkan kata Maniliza Abdul Hamid, 47, hasrat suaminya Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, untuk berehat terus daripada menyertai perbarisan benar-benar terjadi apabila dia meninggal dunia selepas rebah di Dataran Majlis Bandaraya Seremban.

“Rabu lalu, suami mengadu kepenatan selepas seminggu menjalani latihan kawad kaki dan memberitahu dia mungkin akan pengsan pada hari perbarisan sebenar.

“Rupa-rupanya dia betul-betul pengsan. Kata-kata dia mahu berehat lepas kawad kaki juga menjadi kenyataan apabila dia betul-betul berehat terus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jiboi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Maniliza menerima kunjungan Pengarah Rela Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya (Rela), Muhammad Faiz Musa dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan, Nur Muhammad Bakhtir Mohamad Akhir.

Sementara itu, anak sulung Muhammad Noh iaitu Ahmad Harraz, 20, tidak menyangka perbarisan lintas hormat semalam merupakan yang terakhir bersama bapanya sebelum lelaki itu meninggal dunia akibat masalah jantung di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Menurutnya, sebelum perbarisan, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan malah sentiasa bersemangat untuk mengetuai 45 anggota bagi kontinjen Rela.

“Abah paling semangat nak tengok kontinjen Rela disegani ramai sebab Rela ni bukan lah seperti badan beruniform yang lain. Jadi abah nak tengok Rela setanding dengan askar dan polis,” katanya.

Menurutnya, disebabkan itu, selain dia yang merupakan anak kedua dari tiga beradik, kakak sulungnya, Qistina Amierah, 21, yang merupakan pelajar Politeknik Nilai, turut menjadi anggota Rela kerana semangat ayah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI