UMUM mengetahui bahawa penyusuan susu ibu adalah satu cara terbaik untuk menyalurkan nutrisi penting, antibodi dan memberi kebaikan kesihatan sepanjang hayat kepada bayi.
Susu ibu secara uniknya dapat membekalkan keperluan nutrisi kepada bayi dan sumber makanan selamat, bersih, sihat serta mudah diperoleh.
Selari dengan itu, Polisi Penyusuan Ibu Kebangsaan menggalakkan penyusuan ibu secara eksklusif untuk bayi bagi enam bulan pertama dan diberi secara berterusan sehingga berumur dua tahun.
Pakar Obstetrik dan Sakit Puan di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Sharmina Kamal Shamsul Kamal berkata, penangguhan penyusuan susu ibu boleh membahayakan nyawa bayi.
Menurutnya, semakin lambat bayi yang baru lahir diberi susu ibu, semakin tinggi risiko kematian mereka.
“Di Malaysia, lebih daripada 88.6 peratus bayi diberi susu ibu dalam tempoh 24 jam.
“Namun, angka tersebut telah menurun dengan ketara iaitu kepada 50.6 peratus selepas bayi berusia 12 bulan.
“Antara pendorong utama penurunan ini adalah berkemungkinan besar disebabkan kurang akses dan sokongan kepada ibu di tempat kerja untuk menyusukan anak serta tekanan sosial,” katanya.
Sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2023, penting untuk mengetahui bahawa sokongan perlu diberi kepada ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka.
Walaupun menyusukan anak adalah proses semula jadi, namun ia sering melibatkan proses pembelajaran yang memerlukan kesungguhan dan ketabahan.
Satu kajian terkini mendapati bahawa kira-kira 70.3 peratus golongan ibu menghadapi kesulitan semasa menyusukan anak, termasuk puting terluka, persepsi bahawa bekalan susu tidak mencukupi, kesakitan serta keletihan.
Dr. Sharmina menjelaskan, bagi ibu yang bekerja, mengimbangkan penyusuan bayi serta komitmen profesional boleh menambahkan kompleksiti mereka.
“Sebagai seorang profesional dalam bidang kesihatan, saya telah melihat sendiri cabaran yang dihadapi oleh ibu bekerja dalam penyusuan anak.
“Namun, saya juga melihat banyak manfaat penyusuan kepada ibu dan bayi,” jelasnya.
Tambahnya, dia percaya bahawa setiap ibu harus diberi peluang untuk menyusukan bayi mereka, tanpa mengira situasi kerja.
Sementara itu, salah satu sistem sokongan yang dapat membantu golongan ibu adalah sokongan seorang pembimbing laktasi.
Pembimbing laktasi merupakan ahli kesihatan profesional yang dilatih khas untuk membantu ibu dalam proses penyusuan anak.
Mereka memainkan peranan penting dalam membantu ibu-ibu yang bekerja bagi mengatasi cabaran penyusuan dan memperoleh pengalaman positif, terutama apabila menghadapi masalah ketika memerah susu.
Dr Sharmina berkata, perunding laktasi adalah pakar penyusuan susu ibu yang boleh membantu ibu-ibu menghadapi pelbagai cabaran seperti kesukaran bayi melekap kepada ibu hingga mastitis dan cerai susu badan.
“Mereka juga boleh memberikan sokongan dan ilmu tentang penyusuan susu ibu di setiap langkah perjalanan penyusuan ibu.
“Peranan pakar ini boleh memperkasakan ibu-ibu baharu apabila mereka melalui pengalaman transformatif sebagai ibu bekerja.
“Akhirnya, memberi manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan anak mereka,” terangnya.
Dr. Sharmina menjelaskan, akses kepada fasiliti laksasi dengan menyediakan sebuah bilik kecil khas mampu memberi sokongan kepada ibu menyusu.
Katanya, ia bagi membolehkan ibu memerah dan menyimpan susu yang telah diperah di dalam peti sejuk.
Menurutnya, kemudahan tersebut memudahkan proses penyusuan mereka, lantas menenangkan fikiran dan mengurangkan stres supaya dapat bekerja sambil menjaga bayi.
“Pembimbing laktasi juga memainkan peranan penting dalam memberi bimbingan.
“Ia bagi memastikan ibu menyusu diberi sokongan serta khidmat kepakaran yang diperlukan dalam proses menyusu bayi mereka.
“Pada masa sama, ia memberi mereka satu permulaan kehidupan yang baik.
“Sebagai seorang ibu atau bakal ibu yang melalui saat-saat manis serta cabaran dalam menyusukan anak semasa bekerja, anda tidak bersendirian,” jelasnya.
Tambahnya, sokongan berkumpulan secara dalam talian atau bersama ibu-ibu lain di tempat kerja juga dapat membantu mereka.
Dengan informasi, sokongan dan keazaman, golongan ibu dapat membekalkan nutrisi kepada bayi mereka, di samping mengejar kerjaya.