fbpx

NIMP 2030: Gaji median sektor pembuatan meningkat cecah RM4,510

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) bersama Ahmad Zahid (dua kiri) dan Tengku Zafrul (dua kanan) menunjukkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 selepas merasmikan pelancaran di Menara MITI, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Gaji median bagi sektor pembuatan dijangka meningkat mencecah RM4,510 melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu didorong peralihan industri dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan pelan berkenaan.

“Apa yang paling penting ialah unjuran bahawa melalui NIMP, gaji median bagi sektor pembuatan dijangka meningkat dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 9.6 peratus mencecah RM4,510 daripada RM1,976.

“Ia kerana kadar gaji itu sebelum ini adalah di bawah purata nasional walaupun sektor tersebut memainkan peranan dominan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran NIMP 2030 di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dengan unjuran pertumbuhan dijangka meningkat sebanyak 2.3 peratus pada 2023, sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan dapat disediakan menjelang 2030.

“Trajektori pekerjaan yang semakin meningkat dalam industri ini adalah disebabkan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi termasuk penambahbaikan dalam automasi dan kemajuan teknologi,” ujarnya.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan mensasarkan nilai tambah pembuatan sebanyak RM587.5 bilion menjelang 2030 menerusi
pelaksanaan NIMP.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 61 peratus yang diperolehi intervensi NIMP 2030 untuk sektor berimpak tinggi iaitu elektrik dan elektronik (E&E), kimia, kenderaan elektrik (EV), Aeroangkasa, farmaseutikal dan bahan termaju seperti Mineral serta Logam,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI