ALOR GAJAH – Seorang juruteknik maut selepas motosikal dia tunggang bergesel dengan motosikal rakannya lalu digilis dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 207 Lebuh Raya Utara – Selatan (arah selatan), pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa, M.Kumaresan, 29, maut di lokasi akibat kecederaan parah, manakala rakannya, M. Satiyasilan, 27, patah tulang pinggang dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan membabitkan sebuah Kawasaki KR150 ditunggang si mati, Yamaha RXZ, Toyota Vios, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
“Setiba di lokasi, motosikal yang si mati tunggang telah bergesel dengan motosikal rakannya menyebabkan dia jatuh di lorong tengah lebuh raya.
“Vios yang datang dari lorong tengah kemudian cuba mengelak ke lorong kanan dan dilanggar oleh Alphard yang berada di laluan itu, manakala Ford Ranger pula telah melanggar salah sebuah motosikal terlibat menyebabkan tayar kenderaan itu bocor,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan awal masih belum dapat mengenal pasti kenderaan yang telah melanggar si mati.
“Mangsa mengalami hancur separuh badan dipercayai telah digilis oleh kenderaan yang menyeretnya dari lorong tengah membawa ke lorong kanan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE