LONDON – Pemain muda sensasi Barcelona, Ansu Fati membuat kejutan apabila bersetuju untuk berhijrah ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menjadikan kelab Brighton sebagai pilihan sebelum jendela perpindahan ditutup hari ini.
Difahamkan, Fati telah berada di Brighton untuk melakukan ujian perubatan sebelum melengkapkan perpindahan secara pinjaman selama semusim selepas gagal mendapat tempat dalam skuad utama The Catalan sebelum ini.
Fati yang baru berusia 20 tahun dilaporkan mahu kembali membuktikan keupayaan sebenar pada saingan musim ini sebelum berharap dapat menyarung semula jersi Barcelona tahun depan.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu berjaya membantu The Catalans menjuarai La Liga musim lalu dengan menjaringkan tujuh gol dalam 36 penampilan tetapi ketika ini khidmatnya dibayangi seorang lagi pemain remaja berusia 16 tahun, Lamine Yamal.
Keputusan Fati dianggap mengejutkan kerana pada awalnya mendapat tawaran daripada Tottenham Hotspur, namun Brighton menjadi pilihan kerana mengakui berminat dengan corak permainan pasukan kendalian Roberto de Zerbi.
Situasi tersebut menyaksikan Spurs kini terpaksa mencari alternatif lain dengan menjadikan pemain antarabangsa Wales, Brennan Johnson yang mewakili Nottingham Forest sebagai sasaran No. 1 sebelum jendela perpindahan ditutup nanti.
Bagaimanapun, bidaan rasmi yang dilakukan oleh Spurs untuk mendapatkan khidmat Johnson dengan tawaran sebanyak £43 juta (RM253.9 juta) telah ditolak Forest kerana tidak mencapai nilai angka yang ditetapkan pihak pengurusan. – AGENSI