LUMUT – Sebanyak 500 anak pokok bakau ditanam di sepanjang pesisiran pantai Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Teluk Rubiah, dekat sini hari ini, sebagai usaha kelestarian alam sekitar kawasan tersebut.
Ia adalah satu daripada 15 lokasi yang dipilih di seluruh negara bagi penanaman anak pokok bakau sempena sambutan ulang tahun Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke-74 hari ini.
Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Shamsul Ahmad berkata, ia adalah sebahagian daripada 74,000 pokok daripada enam spesis yang diunjurkan ditanam di pelbagai lokasi seluruh negara sepanjang tahun ini.
“Kita sebenarnya tiada pilihan dan perlu menanam lebih banyak pokok bermula sekarang demi kelestarian untuk generasi akan datang,” katanya ketika melancarkan program My Brighter Green itu di SJSAS milik TNB Janamanjung Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan SJSAS, Mohd. Zaini Jaafar; Ketua Penolong Pegawai Daerah Manjung, Mohd. Amirudin Kesmiran dan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir (PSHBL), A. Hadi Kamil Ismail.
Menurut Shamsul, pesisiran pantai tanah tebusguna SJSAS seluas 280 hektar itu sebelum ini telah ditanam dengan 25,000 pokok bakau.
Katanya, ia adalah sebahagian usaha syarikat itu untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem serta sebagai zon penampan dalam menghalang ombak kuat dan ribut kencang dari arah laut menuju daratan, selain sebagai habitat flora dan fauna di pesisiran laut.
“Selain penanaman pokok bakau, mungkin selepas ini akan menanam spesis pokok lain di lokasi lain pula,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE