KUANTAN – Ruang udara bandar Kuantan disemarakkan dengan pertunjukan tujuh pesawat udara Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 negeri Pahang yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, di sini, hari ini.
Difahamkan ianya merupakan julung kali acara pertunjukan udara melibatkan tiga pesawat Sukhoi Su-30MKM dan empat BAE Hawk berbanding tahun sebelumnya yang hanya melibatkan sebuah Sukhoi Su-30MKM.
Sambutan tahun ini menyaksikan pembabitan lebih 4,489 peserta dari 106 kontinjen dengan 72 kontinjen berjalan dan 34 kontinjen berkenderaan menggunakan 809 kenderaan semasa perarakan, termasuk aset-aset tentera darat, laut dan udara.
Turut berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan itu ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Puluhan ribu pengunjung membanjiri Padang MBK 4 seawal pukul 7 pagi bagi menunjukkan semangat kebersatuan dalam menghayati acara tahunan itu.
Lagu Negaraku kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan bacaan ikrar rukun negara diketuai, Naib Johan Pertandingan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan, Muhammad Thariq Suhaimi Al-Hafiz.
Ia kemudiannya diikuti medley koir lagu tema Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan yang didendangkan oleh 66 penjawat awam pelbagai agensi.
Turut menarik perhatian adalah perarakan aset keselamatan dan pertahanan negara, antaranya oleh pasukan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Selain itu, terdapat perarakan dari 43 guru madrasah, maahad dan pondok Negeri Pahang yang mana difahamkan pertama kali mereka menyertai perarakan terbabit tahun ini. – KOSMO! ONLINE