PUTRAJAYA – Seorang wanita tidak menyangka dapat melahirkan seorang bayi merdeka yang pertama di Hospital Putrajaya (HPj), di sini, kira-kira pukul 12.51 tengah malam tadi.
Menurut Syahnaz Mohd. Ali, 37, ketika tiba dengan suaminya, Mohamad Norazman di hospital berkenaan pada pukul 6 petang semalam, mereka menjangkakan bayi itu lahir lebih awal.
“Saya ingat mungkin tidak sempat melahirkan bayi merdeka, tetapi terkejut apabila anak lelaki ketiga ini selamat lahir selepas 12 tengah malam,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini tadi.
Beliau yang bertugas sebagai pegawai teknologi makanan di Kementerian Kesihatan (KKM) itu merupakan antara individu diraikan pihak pengurusan Hospital Putrajaya, hari ini.
Acara yang diadakan serba ringkas bersempena Hari Kebangsaan 2023 itu menyaksikan seramai lima bayi merdeka, dilahirkan di fasiliti berkenaan setakat pukul 12 tengah hari.
Mereka diraikan oleh Pengarah HPj, Dr. Suraya Amir Husin dan Pengerusi Pertubuhan Kasih Mekar Malaysia, Husna Abdul Rahman dengan menerima sumbangan keperluan bayi. – KOSMO! ONLINE