fbpx

Taman Persekutuan Bukit Kiara, taman-taman awam teras penghjiauan bandar mampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPKT melalui JLN giat memperkemas kualiti perkhidmatan landskap di samping agenda bandar mampan dan pintar.

PETALING JAYA – Kecenderungan orang ramai yang sukakan kehijauan flora dan fauna menyaksikan Taman Persekutuan Bukit Kiara (TPBK) menjadi pilihan warga kota untuk beriadah.

Buktinya apabila TPBK yang berkeluasan 111 hektar, mencatatkan peningkatan pengunjung iaitu sekitar 11,400 orang pada hari minggu bagi tahun 2023, berbanding 2018, sekitar 8,500 pengunjung.

Satu-satunya taman persekutuan yang diuruskan Jabatan Landskap Negara (JLN), ia turut menjadi tumpuan penduduk di sekitar Lembah Klang dan pelancong luar negara berikutan kedudukannya yang strategik.

Taman Persekutuan Bukit Kiara yang terletak di ibu negara sering menjadi perhatian pengunjung dalam dan luar negara.

Ketua Pengarah JLN, Roslee Abdullah, berkata, sambutan luar biasa itu selaras dengan matlamat pembangunan TPBK menerusi pemeliharaan hutan, pendidikan, penyelidikan dan rekreasi awam.

“Dengan kos pengurusan berjumlah 2.15 juta setahun, ruang rekreasi keluarga dan arboretum dengan kemudahan rekreasi, riadah serta sukan kepada pengguna, menjadi antara komponen utama di TPBK.

“Bagi mengekalkan kelestarian, langkah pengekalan dan pemeliharaan dijalankan melalui reka bentuk taman arboretum, pengekalan spesis pokok asal serta aktiviti pemuliharaan oleh masyarakat setempat,” katanya.

Roslee berkata, ia membuktikan sokongan JLN terhadap matlamat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

KPKT melalui JLN katanya, giat memperkemas kualiti perkhidmatan landskap di samping agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu yang menjadi salah satu bidang fokus terkini KPKT.

Ia diterjemahkan menerusi program pembangunan landskap negara di mana infrastruktur seperti TPBK dan pembangunan lebih 60 taman awam pelbagai hierarki dijadikan sebagai teras penghijauan bandar.

“Taman-taman awam jadi tumpuan utama ketika negara berdepan pandemik Covid-19, yang menjadi petunjuk rakyat hargai dan perlukannya.

“Jadi, JLN sasar untuk bangunkan lebih banyak taman awam selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

“Selain mengurangkan kadar pencemaran dan menurunkan suhu kawasan dalam bandar, projek-projek ini mampu menjayakan visi Menjadikan Malaysia Negara Taman.

Taman Tasik Bandar Tenggara yang mempunyai landskap indah dan menghijau.

Menurutnya lagi, usaha memacu pembangunan landskap negara dilaksanakan dengan memikirkan kepentingan perubahan iklim, degradasi alam sekitar dan penggunaan sumber alam yang mampan.

“Perancangan serta pembangunan landskap bandar dan luar bandar disasarkan menawarkan penyelesaian serta mitigasi kepada isu-isu persekitaran.

“Ia meliputi isu pelepasan gas rumah hijau, peningkatan iklim perbandaran, pencemaran air dan sisa, penggunaan tenaga serta kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya lagi, pembangunan taman awam juga adalah untuk menyokong Dasar Landskap Negara dan Agenda Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG).

“Ia dimanifestasikan melalui pembangunan taman persekutuan dan taman-taman awam bagi mengimbangi pembangunan fizikal.

“Selain itu ia diurus dengan bersih, indah, serta mempunyai ruang fizikal luaran unik, beridentiti serta berkualiti sekali gus memenuhi kriteria bandar rendah karbon,” ujarnya.

Bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) sejumlah RM86.6 juta diperuntukkan bagi membangunkan tujuh projek taman awam yang sedang dilaksanakan JLN di seluruh negara.

Berdasarkan ketujuh-tujuh projek tersebut, ia dijangka mampu memanfaatkan kira-kira 1.6 juta rakyat meliputi seluruh kawasan terlibat dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Ia adalah Taman Rekreasi Awam Kudat (Sabah), Taman Awam Bentong (Pahang), Taman Awam Limbang (Sarawak), Taman Awam Pasir Puteh (Kelantan), Taman Awam Kuala Kerteh, Kemaman (Terengganu), Taman Awam Wawasan Vision Park (Pulau Pinang) dan Taman Awam Kamunting, Taiping (Perak).

“Taman-taman awam ini mempunyai anggaran keluasan tapak di antara empat ke 17 hektar, bagi memenuhi keperluan rekreasi dan riadah masyarakat setempat yang mana telah mula dilaksanakan sejak tahun 2019 secara berperingkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI