BALING – Sebilangan mangsa tragedi aliran puing Kampung Iboi, di sini terpaksa pulang ke rumah asal mereka setelah mendakwa bantuan bayaran sewa rumah telah dihentikan kerajaan negeri sejak Jun lalu.
Mangsa, Mahmod Md. Rejab, 78, berkata, dia bersama isterinya, Halipah Ahmad, 71, serta anak lelaki, Mohd. Arif, 28, terpaksa pulang ke rumah pada awal Jun lalu kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
“Sejak kejadian kepala air dan banjir sejak lebih setahun lalu, saya sewa rumah penduduk kampung berhampiran masjid dengan sewa bulanan sebanyak RM350 dan ia dibayar kerajaan.
“Namun, setelah dihentikan bantuan itu, saya dan keluarga nekad untuk balik ke rumah sendiri meskipun keadaannya agak uzur. Kami juga mungkin berada dalam keadaan bahaya jika air Sungai Kupang melimpah ke tebing,” katanya semalam.
Menurutnya, dia tidak mempunyai pendapatan untuk membayar sewa rumah, selain tidak mahu membebankan anak-anaknya yang juga susah dan hanya bekerja sendiri.
Selain itu, Mahmod juga menyatakan kebimbangannya jika berlaku hujan lebat dalam tempoh lama dan tragedi aliran puing berulang lagi.
“Saya masih ingat ketika itu saya tersangkut di atas pokok pinang setelah dibawa arus banjir ketika cuba balik ke rumah untuk menyelamatkan isteri yang masih berada di rumah seorang diri,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Ishak Saad, 56, pula berkata, dia juga sedang membersihkan rumahnya yang rosak dan kotor akibat kejadian aliran puing dan banjir itu kerana tidak mampu membayar sewa rumah RM350 yang didudukinya sekarang.
“Saya hanya menoreh getah, seminggu hanya dapat RM100 sahaja setelah dibahagi dengan tuan pokok. Keadaan sekarang hujan turun tidak menentu menyebabkan saya tidak dapat menoreh dan duit hasil torehan getah hanya boleh beli barang dapur sahaja,” jelasnya.