fbpx

Sultan Nazrin sertai 25,000 pengunjung rai Hari Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin (kiri) berkenaan memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormat Panji-Panji pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia Ipoh hari ini - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri di pekarangan Stadium Perak di sini hari ini, berjalan seperti dirancang meskipun sambutan bagi acara itu terjejas ekoran hujan lebat dan angin kencang, semalam.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan majlis sambutan di mana mereka mulai membanjiri pekarangan stadium seawal pukul 6 pagi.

Malah, majlis sambutan turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan menyertai lebih 25,000 rakyat pelbagai kaum bagi meraikan sambutan.

Keberangkatan tiba baginda berdua diiringi dua anakanda iaitu Raja Kechil Besar Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Sambutan bermula dengan perarakan masuk panji unit dan kawalan kehormatan utama dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Diraja Malaysia (TLDM).

Sultan Nazrin kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Division Kem Sangro, Taiping.

Acara diteruskan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa oleh Imam Besar  Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh.

Majlis sambutan turut diserikan dengan persembahan koir gabungan dua buah sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent dan Sekolah Menengah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dengan lagu Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, Tanggal 31 dan Jalur Gemilang.

Persembahan muzikal di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak pula meneruskan acara dengan kekuatan 66 peserta di mana muzikal mengetengahkan elemen perpaduan dan penyatuan pelbagai bangsa dalam kehidupan Malaysia yang maju dan aman damai.

Sambutan diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 91 kontinjen yang disertai kira-kira 4,855 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform, universiti awam, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan berkenaan ialah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

Sultan Nazrin kemudiannya berkenaan bersama tetamu kenamaan lain menyertai majlis jamuan teh dan penyampaian hadiah di dalam Stadium Indera Mulia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI