MUAR – Satu sidang meja bulat akan diadakan pada Oktober ini bagi membincangkan solusi bagi meningkatkan nilai eksport perabot khususnya dari daerah Muar.
Ia meliputi beberapa masalah dihadapi oleh pengusaha perabot di sini, agar jalan penyelesaian bersesuaian dapat dibuat.
Menteri Perdagangan Antara Bangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, nilai eksport hampir RM19 billion menggambarkan industri ini besar dan boleh ditingkatkan lagi melalui perbincangan hasil kerjasama dengan kerajaan negeri nanti.
“Beberapa perkara seperti keperluan pekerja mahir serta mengenal pasti pasaran baharu telah disuarakan pada saya,” katanya, selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri perabot daerah Muar di Sungai Abong, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perabot Malaysia, Desmond Tan Boon Hai berkata, kebanyakan pekerja mahir yang bekerja di kilang-kilang di daerah Muar ini sudah tamat tempoh permit.
Ujarnya, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 18 bulan untuk membawa masuk pekerja baharu bagi menampung kekurangan pekerja dalam sektor pembuatan perabot. – KOSMO! ONLINE