fbpx

Sembilan elemen ‘penyeri’ identiti N. Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin (depan, tengah) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim (depan, kanan) menyantuni Ibu Soko yang hadir pada Perpatih Fest di Seremban baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak sembilan elemen disifatkan menjadi ‘­penyeri’ kepada identiti Negeri Sembilan sekali gus mencerminkan kekayaan dan kepelbagaian adat serta budaya yang dimiliki negeri berkenaan.

Sembilan identiti itu termasuklah Adat Perpatih, Rumah Tradisio­nal Bumbung Panjang, Gulai Kuning, Bunga Lada selain Gasing Negeri Sembilan dan Dam Harimau.

Identiti unik itu turut merangkumi elemen Caklempong, Tarian Piring Lambung, Enam Lagu Terbitan Lembaga Pelancongan Ne­geri Sembilan serta Empat Busana Negeri Sembilan.

Menurut Menteri Besar Ne­geri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Adat Perpatih yang diamalkan berbeza dengan Adat Minangkabau memandangkan ia merupakan asimilasi tiga adat utama iaitu Adat Tuah Disakato daripada Alam Minangkabau, Adat Langgan Baru Siak dan Adat Benar Orang Asli Negeri Sembilan.

“Pada masa ini, pengamal Adat Perpatih sebahagian besarnya adalah masyarakat Melayu di Ne­geri Sembilan (kecuali Port Dickson) selain Naning di Melaka dan beberapa kawasan di Johor serta Selangor.

“Adat Perpatih adalah satu sistem unik yang membezakannya dengan masyarakat lain yang mana bercirikan Islam, pemimpin dan kepimpinan, persempadanan adat dan luak selain kekerabatan matrilineal serta persukuan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, identiti kedua yang meliputi aspek seni bina iaitu Rumah Tradisional Bumbung Panjang pula memberi lambang pengamalan budaya Adat Perpatih oleh masyarakat Negeri Sembilan.

Rumah tradisional Bumbung Panjang yang menjadi lambang kebanggaan masyarakat di Negeri Sembilan.

Jelasnya, ciri-ciri seni bina itu merangkumi gabungan alam bina Minangkabau dan Melayu Riau khususnya Bangkahulu de­ngan masyarakat tempatan atau Orang Asli selain menerapkan motif ukiran seperti pucuk rebung, ayam berlaga serta geometri.

“Selain itu, bagi identiti ketiga iaitu Gulai Kuning yang berada dalam kategori makanan tradi­sional pula, ia merupakan masakan yang dimasak menggunakan beberapa bahan utama seperti santan, cili padi kampung serta kunyit,” katanya.

Bagi identiti keempat, ia mengetengahkan elemen Bunga Lada atau Lado dalam sebutan masyarakat setempat yang mana flora itu melambangkan keunikan yang terdapat di Negeri Sembilan.
Antara ciri-ciri Bunga Lada adalah berwarna putih, mempunyai kelopak daun, memiliki lima kelopak bunga dan lima stamen selain turut mengandungi stigma.

Jelasnya, Gasing Negeri Sembilan pula menterjemahkan identiti kelima melalui ka­tegori permainan tradisional dan dipercayai telah dimainkan masyarakat setempat sejak sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.

Dalam pada itu, muzik Caklempong yang dikatakan berasal dari Sumatera Barat dan dibawa oleh Orang Minangkabau ke Negeri Sembilan pada awal abad ke-14 turut diangkat sebagai identiti keenam melalui kategori muzik.

“Tarian Piring Lambung yang me­lambangkan sikap satu hati dan persepakatan kerana memerlukan persefahaman antara pasangan tarian turut disenaraikan sebagai identiti ketujuh Negeri Sembilan.
“Konsep tarian itu perlu berpasangan iaitu sekurang-kurangnya empat orang atau lebih. Gerak ta­riannya perlu seiring dengan lambungan piring serta memerlukan kepakaran serta kecekapan yang tinggi,” katanya.

Seterusnya, bagi identiti kelapan, ia merangkumi enam lagu beridentitikan Negeri Sembilan seperti Moh Dogheh (Aishah), Orang Kito (Ito), Lambaian Negeri (Aishah), Pepatah Petitih (Ewal), Nogori (Waghih) dan Dirgahayu Yang di-Pertuan Besar (Fitri).

Sebagai penutup, identiti kesembilan pula menceritakan tentang Empat Busana Negeri Sembilan iaitu Baju Melayu Cekak Musang, Baju Kurung Ibu Suko, Baju Kebaya Setengah Tiang serta Baju Kurung Pengantin Negeri Sembilan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI