fbpx

Saya sedih ibu tidak putus asa menunggu – banduan PBSL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAH (kiri) bersama ibunya ketika ditemui pemberita di Penjara Sungai Udang, Melaka. -Foto oleh AMRAN MULUP / KOSMO!

MELAKA – Banduan yang dibebaskan dari Penjara Sungai Udang di sini menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena Hari Kebangsaan Ke-66 semalam mengharapkan peluang kedua dan berazam untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Seorang banduan yang mahu dikenali sebagai Shah, 40, dari Bukit Baru, Melaka berkata, dia sudah serik menjalani kehidupan di sebalik tirai besi selepas dibebaskan kelmarin.

Menurutnya, dia menzahirkan rasa syukur dibebaskan lebih awal dari tarikh sebenar pada 28 Disember depan, dan berazam tidak mahu kembali ke penjara buat kali ketiga.

“Saya sudah serik. Saya tidak mahu ke penjara lagi dan apa membuatkan saya sedih adalah apabila mengenangkan ibu yang tidak putus asa menunggu saya keluar hari ini. Saya berjanji tidak akan ulangi kesilapan seperti sebelum ini.

“Terima kasih kepada pegawai penjara yang banyak membantu dan memberikan saya peluang dipilih dalam PBSL,” katanya ketika ditemui pemberita selepas dibebaskan menerusi Program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Dinanti) Sempena Hari Kemerdekaan Ke-66.

Shah dipenjarakan di Sungai Udang sejak 28 April lalu atas kesalahan khianat dan kali pertama dipenjarakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia yang sudah berkahwin merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan berazam ingin menjadi insan lebih baik serta berjasa kepada masyarakat.

Sementara itu, ibu Shah yang hanya mahu dikenali sebagai Wee, 70, berkata, dia berharap shah berubah dan tidak melakukan kesilapan buat kali ketiga.

Katanya, sebagai ibu, dia tidak akan berganjak memberi sokongan kepada anaknya untuk berubah, walaupun sudah dua kali dipenjarakan.

“Saya tidak akan putus asa untuk beri sokongan kepadanya sebab dia anak sulung saya. Dia sebenarnya pandai tetapi tersilap dan tersalah langkah kerana terlalu baran serta tidak sabar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI