PETALING JAYA – “Suka dalam duka”. Itulah pribahasa yang tepat bagi menggambarkan perasaan ribuan rakyat Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Dalam keterujaan melihat perbarisan dan aksi yang dipamerkan, rata-rata ramai terharu ketika dapat bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi perkongsian klip video di Instagram Istana Negara, memaparkan aksi spontan Seri Paduka Baginda berdua menyantuni rakyat yang hadir sebelum berangkat pulang sejurus selesainya Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2023.
Berdasarkan klip video tersebut, kelihatan ramai pengunjung amat teruja dan terharu ketika bertemu dengan Tunku Azizah serta turut memuji kecantikan baginda.
“Tuanku nak salam, cantiknya (Tunku Azizah),” kata seorang pengunjung ketika bersalaman dengan Raja Permaisuri.
Sehubungan itu, rata-rata orang ramai memuji keprihatinan Tuanku Agong dan Raja Permaisuri selain meluahkan rasa sedih berikutan ia sambutan hari kebangsaan yang terakhir di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda berdua.
“Kenapa aku yang menangis, ya Allah bangga kami rakyat Malaysia memiliki Tuanku berdua,” kata Elha.
“Tidak akan ada lagi Tuanku Agong dan Raja Permaisuri seperti ini. Sangat sayangkan rakyat sanggup menyatuni sampai macam ini,” ujar Hani.
“Selepas ini, pasti kita akan merindui Tuanku Agong dan Raja Permaisuri. Tahun terakhir sambut merdeka sebagai Yang Di-Pertuan Agong,” jelas Haszreen.
“Menangis dibuatnya untuk kali terakhir, daulat Tuanku. Allah lanjutkan usia Tuanku Agong dan Raja Permaisuri,” ucap Haniff.
Untuk rekod, pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong telah memasuki tahun keempat pada 30 Januari 2023 sebelum tamat pada tahun hadapan setelah berkhidmat selama lima tahun. – KOSMO! ONLINE