JOHOR BAHRU – Calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Pulai tidak mahu ambil pusing pergolakan dalaman UMNO Bahagian Pulai sebaliknya mahu memberi tumpuan ke arah memperkemas pergerakan jenteranya.
Zulkifli Jaafar berkata, pergolakan itu tidak dianggap kelebihan buat dirinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September ini.
Katanya, tumpuan kini terarah untuk mendekati pengundi di semua 40 pusat daerah mengundi (PDM) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan DUN Pulai dalam tempoh 10 hari berkempen ini.
“Kita tak menganggap situasi semasa yang berlaku dalam UMNO Bahagian Pulai kelebihan buat diri saya. Jika kita melayan atau bergantung dengan keadaan itu, kita akan lemah dan berkhayal. Jika bergolak sekali pun, belum tentu mereka sokong saya.
“Bagi saya, tak ada jalan singkat untuk berjaya dan perlu berkerja keras. Apa yang berlaku dalam UMNO Pulai itu boleh dikatakan sebagai bonus, tidak lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa berkempen di Kempas, di sini hari ini.
Minggu lalu sebanyak 11 kain rentang dengan tertera mesej ‘Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan’ yang digantung sekitar kawasan Parlimen Pulai yang tular dalam media sosial.
Difahamkan ketua-ketua UMNO cawangan dalam bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Susulan itu, Sabtu lalu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed akan bertemu dengan ketua-ketua cawangan bahagian itu untuk berusaha keras memujuk mereka yang tidak mahu menyokong Suhaizan pada PRK Parlimen Pulai.
Mengulas lanjut, Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai itu berkata, pihaknya tidak ada masa untuk melakukan perbuatan itu yang disifatkan sebagai membazir wang sahaja. – KOSMO! ONLINE