KLANG – Malang menimpa seorang pekerja kilang apabila maut dihempap lapan keping mozek dalam kejadian di Pelabuhan Klang, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.47 pagi ketika mangsa lelaki berusia 40 tahun itu memberikan penerangan mengenai produk-produk kilang tersebut kepada seorang pelanggan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati lapan mozek telah terjatuh dari rak stor penyimpanan kilang itu.
“Akibatnya, kesemua mozek tersebut telah menghempap mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, siasatan juga mendapati semasa kejadian mangsa sedang memberikan penerangan produk-produk di kilang itu kepada seorang pelanggan.
Ahmad Mukhlis menjelaskan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM). – KOSMO! ONLINE