JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou bersiap sedia untuk melakukan persiapan lengkap terutama meletakkan impian merampas kembali pingat emas di Sukan Para Asia di Hangzhou, China pada Oktober ini nanti.
Kali terakhir Liek Hou meraih kilauan pingat berkenaan adalah dalam acara perseorangan SU5 di Incheon 2014 sebelum akur dengan meraih gangsa pada edisi selepas itu di Indonesia 2018 yang menyaksikan emas dan perak masing-masing menjadi milik atlet tuan rumah, Dheva Anrimusthi dan Suryo Nugroho.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu berkata, dia enggan meletakkan sebarang tekanan untuk membutirkan emas pada temasya itu tetapi yakin peluang untuk membawa pulang pingat emas tetap terbuka.
“Sebelum ke Hangzhou saya akan menyertai kejohanan di Australia sebelum temasya Para Asia membuka tirainya. Kejohanan itu 10 hari sebelum ke Para Asia. Kejohanan ini akan menjadi pemanas badan untuk persediaan saya ke Para Asia.
“MSN (Majlis Sukan Negara) meletakkan sasaran untuk saya ke final, kalau boleh menjadi juara. Namun, saya tak akan memberikan tekanan kepada diri saya kerana Sukan Para Asia ini, saya pernah menang dan akan cuba sedaya upaya untuk dapatkan prestasi dan kondisi yang bagus untuk melakar kemenangan.
“Seperti biasa, sama seperti di Sukan Para ASEAN, Para Asia ataupun Paralimpik, seteru paling kuat di kategori saya adalah Indonesia. Namun, saya juga tak boleh memandang rendah negara lain kerana saya boleh lihat peningkatan mereka pada tahun ini.
“Ada peningkatan di kalangan pemain dalam kategori yang saya sertai ini, terutama dari segi semangat juang dan kemajuannya.”
Pada awal bulan ini, Liek Hou meraih kejuaraan ketiga berturut-turut pada tahun ini apabila menjuarai Kejohanan Antarabangsa Empat Negara di Sheffield, England selepas menewaskan pencabarnya dari Indonesia, Dheva 21-18, 21-10 pada aksi final.
Ia adalah gelaran ketiga berturut-turunya selepas kejayaan di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain dan Kanada serta secara keseluruhannya, dia sudah merekodkan lima kejuaraan sepanjang musim ini.