fbpx

Kemerdekaan wajib dipelihara seluruh masyarakat – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuanku Syed Faizuddin (tiga dari kiri) memberikan tepukan kepada kontinjen perbarisan berkuda pada Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perlis di Kangar, malam tadi.

KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua lapisan masyarakat terus memelihara kemerdekaan negara yang dikecapi selama ini.

Baginda bertitah, hakikat sebenar semua masyarakat dapat berkumpul dalam suasana yang cukup aman adalah berkat jasa bakti dan pengorbanan generasi terdahulu.

Titah baginda, ia khususnya para anggota keselamatan yang tidak mengenal erti penat lelah bertarung nyawa bagi menjamin rakyat hidup dalam keadaan sejahtera dan harmoni.

“Sesungguhnya kemerdekaan wajib dipelihara seluruh lapisan masyarakat dengan memastikan kita semua memainkan peranan masing-masing seperti mengadun budaya, agama dan bangsa yang berlainan sebagai satu bentuk kekuatan menjadi tonggak pegangan dalam membentuk negeri mahupun negara yang lebih mampan.

“Para pemimpin dan anggota perkhidmatan awam pula mestilah terus berkhidmat dengan rajin, teliti, setulus hati, berintegriti, beramanah dan bertanggungjawab dengan tadbir urus yang terbaik dan berkualiti tinggi dalam memastikan sosio ekonomi rakyat terus dilindungi dan dibantu demi kelangsungan hidup mereka,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sebelum melancarkan sambutan Hari Kebangsaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini malam tadi.

Titah baginda lagi, rakyat yang dikasihinya hendaklah berterusan menyokong usaha-usaha dan dasar kerajaan agar segala program yang digubal adalah berdaya maju dan dapat dilaksanakan serta dinikmati semua.

Baginda bertitah, selain kemajuan ekonomi, negeri memerlukan rakyat yang berpendidikan, berpengetahuan, proaktif, berinovatif, kompetitif, berkemahiran dan sentiasa berfikir untuk penambahbaikan.

“Generasi muda merangkumi para penuntut dan belia mestilah sama-sama dipimpin untuk mengenal dan menghayati ajaran-ajaran agama yang benar lagi sahih selain beradab serta berakhlak yang menjadi nilai kehidupan manusia yang tinggi tatasusila dan tamadun keinsanan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI