fbpx

Kembar tiga seiras curi tumpuan pengunjung sambut merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puteri Dhia (dari kiri), Puteri Dian dan Puteri Diyana mengibarkan Jalur Gemilang di pekarangan stadium Batu Kawan, hari ini. - Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Gelagat tiga kembar seiras yang teruja mengibarkan Jalur Gemilang mencuit hati pengunjung pada Program Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pulau Pinang di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, hari ini.

Puteri Dhia Muhammad, Puteri Dian dan Puteri Diyana yang masing-masing berusia lima tahun bukan sahaja mengenakan pakaian sedondon, malah ketiga-tiga mereka turut memiliki tas tangan yang sama berwarna putih.

Ibunya, Noor Hidayah Ibrahim, 31, berkata, anak-anaknya bangun seawal subuh apabila mengetahui akan ke stadium untuk melihat perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Katanya, itu kali pertama beliau dan suami, Muhammad Ahmad,32, membawa kelima-lima anak mereka menyaksikan perbarisan dan perarakan terbabit.

“Kami bertolak dari Parit Buntar, Perak kira-kira pukul 7 pagi dan anak-anak sempat sambung tidur dalam kereta.

“Seronok juga apabila dapat melihat perarakan dan perbarisan secara dekat malah anak-anak juga gembira serta belajar untuk merasai semangat kemerdekaan.

“Mujur cuaca juga baik hari ini, malah saya bersyukur kerana mereka tidak meragam dan mudah dikawal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Pengunjung tidak ketinggalan menangkat gambar kembar tiga iaitu Puteri Dhia, Puteri Dian dan Puteri Diyana.

Sementara itu, lebih 20,000 pengunjung hadir untuk menyaksikan pelbagai acara dan pertunjukan yang bermula pukul 8.30 pagi.

Program itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI