PASUKAN Harimau Malaya perlu meningkatkan aspek keyakinan diri sekiranya mahu melakar kejutan ke atas pasukan ranking lebih tinggi seperti Syria dan China pada aksi persahabatan antarabangsa minggu depan.
Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, barisan pemain negara perlu kekal tenang dalam apa jua situasi terutama apabila pasukan berjaya mendahului perlawanan selain diberi tekanan oleh skuad lawan.
“Bila kita bertemu dengan pasukan yang lebih baik, kita akan mulakan perlawanan dengan rentak cemerlang dan ada ketika mendahului saingan.
“Namun apabila diasak, barisan pemain dilihat agak tertekan dan mereka perlu perbaiki aspek mentaliti dan psikologi di atas padang.
“Jika berjaya mendahului, sudah tentu ia perkara positif, tetapi pemain sering mengalami kejutan dan akhirnya dibolosi pada penghujung perlawanan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Mengulas lanjut, pengendali import dari Korea Selatan itu mengakui, dua aksi antarabangsa di China nanti adalah ujian terbaik buat pasukan sebelum menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026 pada November dan Piala Asia 2023, Januari depan.
“Ini adalah pengalaman yang bagus buat pasukan kerana ketika beraksi di laman sendiri, kami hanya tewas sekali kepada Bahrain tetapi apabila bermain di tempat lawan, kami telah tewas kepada Vietnam dan Thailand.
“Aksi di tempat lawan berbeza dari segi keadaan serta penyokong dan pemain perlu gunakan kesempatan ini sebaiknya.
“Selepas ini pasukan akan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023 di tempat lawan dan sudah tentu saya harapkan keputusan terbaik dapat diraih nanti,” katanya.
Sebagai rekod, skuad negara mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam aksi antarabangsa tahun ini dengan menewaskan Turkmenistan, Hong Kong, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.